• KENALI SRITI

      Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) merupakan organisasi pendidikan sekolah rendah yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). SRITI merupakan institusi pengajian peringkat sekolah rendah yang menggabungjalinkan elemen pendidikan arus perdana, agama dan pra-tahfiz al-Quran. Sekolah yang berteraskan pendidikan agama ini ditawarkan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya murid-murid lepasan PASTI di negara ini. Institusi ini juga menggabungkan aliran tahfiz dan aliran sains dalam menyediakan bakal huffaz akan datang yang mempunyai ketinggian ilmu dan personaliti yang Islamik.

      SEJARAH RINGKAS

      Cetusan untuk menubuhkan sekolah rendah Islam kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bermula sejak tahun 2012. Idea sekolah rendah bermula dengan penubuhan Sektor KAFFAH dalam Jabatan PASTI Malaysia. Sehingga tahun 2015, DPPM menubuhkan Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah (JPSR) dan ditukar kepada Jabatan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Malaysia pada tahun 2016.

      Perkembangan sekolah rendah Islam di seluruh negara yang ditubuhkan oleh Badan Perhubungan PAS negeri-negeri, PAS Kawasan, ahli-ahli PAS dan penggerak pendidikan Islam begitu pesat. Hal ini, memberi semangat kepada pidak DPPM untuk terus menerokai bidang pendidikan khususnya pendidikan sekolah rendah Islam.

      Tanggal 18 Ogos 2015, mesyuarat pertama JPSR telah membentuk jawatankuasa yang akan menjalankan tugas-tugas utama dalam menggerakkan SRITI. Pada tahun 2016, secara rasminya 9 buah SRITI beroperasi di seluruh negara. Pada tahun 2017, jumlah SRITI meningkat kepada 51 buah diseluruh negara dengan jumlah murid seramai 3135 orang. Sehingga pada akhir tahun 2021, sebanyak 157 buah SRITI dibuka di seluruh Malaysia dengan jumlah guru seramai 1779 orang dan 18005 orang murid.